Walau bagaimanapun terdapat banyak perubahan sekitarnya jika dibandingkan dahulu dengan sekarang.
Dulu menggunakan titi tiga batang kelapa yang disusun rapat dan diletakkan tanah liat untuk menutup lubang bagi kegunaan pejalan kaki dan basikal. Sekarang berubah kepada jembatan konkrik bagi lintasan semua kenderaan.
Melihat keadaan parit besar sekarang yang baru lepas dibersihkan dengan air yang hampir kering musim kemarau, dengan ikan puyu, sepat dan haruan berleliaran bermain-main membawa kembali ingatanku di zaman kanak-kanak dahulu.
Di zaman itu tak banyak aktiviti yang boleh dibuat untuk menghabiskan masa lapan. Aku selalu menghabiskan masa dengan kawan-kawan dengan kegiatan menangkap ikan.
Cara kami menangkap ikan mengikut keadaan air dan berdasarkan keadaan parit.
Jika airnya ditahap sederhana kami menggunakan pancing, tajuh dan unjun. Jika kawasannya luas kami menggunakan jala atau jaring. Pancing yang diperbuat daripada buluh atau atau kayu atau pelepah tukas. Mata kail yang siap perambut disambung dengan sedepa benang dan diikat di hujung joran. Cacing tanah atau cengkerik digunakan untuk memancing ikan puyu atau haruan atau keli. Batang pancing bergalah panjang dan berumpankan katak atau getah kering digunakan untuk mengunjun ikan haruan. Memancing secara tajuh biasanya mendapat ikan yang lumayan.
Jika airnya ditahap sederhana dan airnya jernih, kami menangkap ikan di malam hari. Bila matahari terbenam ikan menjadi bodoh. Biasanya dia tidak lari bila disuluh. Bila terlihat sahaja ikan besar ketika disuluh dengan pantas terus dilibas dengan parang panjang atau direjam dengan serampang. Kalau menggunakan parang kita terpaksa raba ikan di air selepas dilibas, tetapi jika menggunakan serempang, ikan akan melekat pada serampang selepas kena rejam.
Jika airnya dalam dan berarus, kami gunakan lukah dengan berumpan kelapa atau ubi. Biasanya ikan keli, haruan, sepat, puyu dan udang gantung yang kerap masuk lukah. Kalau silap hari bulan ular juga masuk lukah.
Jika airnya hampir kering dan berlopak kecil kami gunakan pongkis untuk menyauk ikan-ikan kecil dan besar. Ikan tempala atau laga yang cantik-cantik selalu terdapat bila menggunakan pongkis.
Jika parit mempunyai takungan yang dalam dimusim kemarau, kami buat empangan dengan tanah, kami timba air menggunakan baldi hingga kering dan kami kutip ikan yang mengelonek dan terlenting-lenting dalam lumpur cair. Ikan dikutip dimasukkan dalam uncang supaya tidak terlepas. Parang sarung sentiasa dipinggang kerana pernah aku terpegang ular sawa yang aku sangkakan ikan haruan.
Itulah kenanganku bila melihat keadaan parit besar dihadapan rumahku sekarang. Kalau berminat nak tangkap ikan puyu, haruan, sepat atau keli pilihlah cara yang disukai seperti diceritakan di atas. Aktibiti ini tertakluk kepada perubahan air selepas hujan.
.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan